Tuesday, 9 June 2020

PENGURUSAN MURID PELBAGAI BUDAYA


Penulis : Nur Izazi Syaza

Pengurusan menurut Wan Azmi ialah satu aktivit perancangan dan pergerakan atau panduan oleh sesuatu organisasi berhubung dengan segala kaedah, peraturan juga tanggungjawab dan tugas kakitangan. Menurut Amir (2002), budaya merujuk kepada ciri-ciri atau hasilan tingkah laku yang dipelajari oleh sekumpulan manusia daripada persekitaran sosialnya. Definisi bagi pelbagai budaya pula ialah satu sistem kepercayaan dan tingkah laku yang mengiktiraf dan menghormati kewujudan kepelbagaian dalam kelompok sebuah organisasi atau masyarakat, mengakui dan menghargai perbezaan sosiobudaya, dan menggalakkan serta menerima sumbangan berterusan mereka dalam konteks dan budaya yang inklusif dalam organisasi atau masyarakat berkenaan. Pandangan Abdul Latiff Bakar (1987), istilah budaya merupakan sesuatu yang sukar ditafsirkan dan mempunyai pengertian yang luas.
Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum disatukan dalam satu bumbung pendidikan yang berteraskan pelbagai budaya. Dalam sesebuah organisasi atau masyarakat, budaya merangkumi agama, kepercayaan, fahaman, kaum dan sebagainya. Setiap masyarakat berhak menerima pendidikan tidak kira jantina, agama, etnk, kaum dan budaya. Guru bertanggungjawab dalam memupuk semangat perpaduan muridnya ketika di dalam kelas. Oleh itu, pengurusan murid pelbagai budaya dalam bilik darjah merangkumi aspek persekitaran fizikal, pembelajaran dan pemudahcaraan, hubungan guru dan murid, rutin dan disiplin serta bimbingan dan kaunseling.

a)      Aspek persekitaran fizikal
·         Pelan kedudukan murid.
Pelan kedudukan murid amat penting dalam pengurusan pembelajaran murid pelbagai budaya. Hal ini dikatakan demikian kerana bertujuan untuk mengelakkan isu perkauman antara pelajar. Guru hendaklah bijak menyusun atur kerusi dan meja sesuai dengan pembelajaran abad ke-21.
·         Pengisian papan kenyataan.
Setiap kelas dikehendaki mempunyai papan kenyataan untuk dijadikan peringatan kepada guru dan juga murid akan sesuatu tugasan yang telah diberikan. Guru berperanan untuk sentiasa mengisi papan kenyataan dengan maklumat penting mengenai tugasan ataupun latihan.
·         Hiasan keceriaan.
Setiap sesebuah kelas perlu dihias untuk menceriakan suasana fizikal kelas dengan menyediakan tempat rujukan murid, menghias persekitaran dalam kelas dengan nota-nota penting, lakaran dan sebagainya untuk memupuk semangat belajar dalam kalangan pelajar.

b)      Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc)
·         Pengetahuan sedia ada murid.
Pengetahuan dan kemahiran berkaitan topik yang telah dikuasai oleh murid sebelum sesi pengajaran bermula.
·         Pendekatan dan teknik PdPc.
Pendekatan aktiviti ini mempunyai jangka masa yang panjang, mengintegrasikan disiplin ilmu, berpusatkan murid dan menghubungkaitkan pengalaman kehidupan sebenar.
·         Peka dengan topik-topik tertentu.
Guru berperanan penting untuk sentiasa peka dalam apa jua tugas dan amanah yang dipikul terutama dalam memberi maklumat dan topik tertentu kepada murid.

c)      Hubungan guru-murid
·         Bilik darjah yang selamat.
Guru perlu sentiasa memastikan persekitaran bilik darjah yang selamat. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan murid mengalami kecederaan atau masalah ketika aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan dilakukan.
·         Corak komunikasi dan interaksi.
Komunikasi antara guru dan murid diwujudkan dalam bilik darjah. Guru menggunakan pendekatan kumpulan, kaedah projek, kaedah bermain, lakonan dan aktiviti-aktiviti lain dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Komunikasi dan interaksi antara guru dan murid dapat diperkukuhkan lagi.
·         Hubungan guru-ibu bapa murid.
Mewujudkan hubungan baik dengan ibu bapa murid melalui perjumpaan dalam setiap kelas.

d)     Rutin dan disiplin
·         Peraturan bilik darjah.
Peraturan dalam bilik darjah juga penting dalam pengurusan pembelajaran murid pelbagai kaum. Hal ini kerana, peraturan dapat memupuk murid yang kemas, tegas dan patuh akan arahan yang disediakan.
·         Rutin harian.
Rutin harian seperti jadual pembersihan dalam kelas disediakan untuk dilakukan oleh setiap murid. Jadual pembersihan kelas hendaklah mengikut hari yang ditetapkan sekolah.

e)      Bimbingan dan Kaunseling.
·         Intervensi bagi menangani tingkah laku bermasalah.
Guru sebagai seorang pendidik bertanggungjawab untuk menegur dan memberi bimbingan kaunseling kepada murid yang bermasalah. Murid dengan tingkah laku yang bermasalah berhak diberi bimbingan dan kaunseling kerana mereka hanya menginginkan perhatian yang secukupnya. Memberi motivasi dan nasihat akan membolehkan murid untuk mendengar kata gurunya.
RUMUSAN
Kesimpulannya, pengurusan murid pelbagai budaya dalam bilik darjah terdiri daripada persekitaran fizikal, pembelajaran dan pemudahcaraan, hubungan guru dan murid, rutin dan disiplin serta bimbingan dan kaunseling. Pengurusan murid pelbagai budaya ini penting kerana perpaduan kaum dapat dicapai dan keharmonian serta kemakmuran negara dapat dibentuk dengan baik. Oleh itu, guru mempunyai peranan yang penting untuk mewujudkan keharmonian murid pelbagai budaya dalam bilik darjah dengan menganggap bahawa kepelbagaian budaya memberi manfaat kepada mereka (Najeemah, 2003).

No comments:

Post a Comment

BIBLIOGRAFI

Ain Shahira Rosman (2018). Strategi Mengurus Bilik Pembelajaran.              Diperoleh Mei 7, 2020  daripada http://missminarmy.blogs...