Tuesday, 9 June 2020

STRATEGI PENGURUSAN BILIK PEMBELAJARAN

Penulis : Wan Nadhirah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, strategi bermaksud rancangan yang teratur (yang memperhitungkan pelbagai faktor) untuk mencapai matlamat atau kejayaan. Pengurusan pula bermaksud perbuatan atau hal mengurus sesuatu (syarikat, badan perniagaan dll).  Bilik merupakan ruang dalam rumah (bangunan dsb) yang bersekat dengan dinding dan berpintu manakala pembelajaran pula ialah perihal atau proses belajar. Selain itu, Benoit dan Trigeorgis menjelaskan bahawa strategi membawa maksud pelbagai cara untuk mencapai tujuan. Strategi juga dapat didefinisikan sebagai perilaku yang diambil oleh seseorang yang menggambarkan berbagai tindakan terkait dengan keadaan atau permainan. Di samping itu, pengurusan pembelajaran pula merujuk kepada proses perancangan, pengorganisasian, dan kawalan pelajar serta proses pembelajaran untuk memastikan suasana yang berkesan. Menurut Noriani Idris (2009), pengurusan bilik darjah melibatkan pembinaan suasana pembelajaran yang terbaik dalam bilik darjah bagi meningkatkan motivasi pelajar dan memperkembangkan sikap tanggungjawab serta kebolehan untuk membuat perancangan sendiri.
            Strategi pengurusan bilik pembelajaran ini amat penting dalam memastikan kelancaran aktiviti pengajaran dan pembelajaran (pdp) di dalam mahupun di luar kelas terutama ketika pembelajaran abad ke 21. Ia berkait rapat dengan cara menguruskan bilik pembelajaran yang merangkumi bilik darjah, makmal, bengkel, dan sebagainya. Strategi ini sentiasa berubah mengikut perkembangan pendidikan semasa yang sering berubah-ubah dari masa ke masa. Terdapat pelbagai jenis bilik pembelajaran seperti bilik darjah tradisi, bilik darjah terbuka dan bilik darjah pembelajaran abad ke 21. Bilik darjah tradisi merupakan satu tempat bagi sekumpulan pelajar mengikuti pelajaran yang disampaikan oleh guru menggunakan kaedah keseluruhan kelas. Di dalam bilik darjah jenis ini biasanya mengikut susunan kerusi dan meja sebaris-sebaris. Bilik darjah terbuka pula terwujud hasil daripada konsep pendidikan terbuka. R.S Barth ada mengatakan bahawa konsep pendidikan terbuka sebagai suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran , ruang-ruang pembelajaran, bahan-bahan pelajaran serta penglibatan pelajar dalam membuat pemilihan daripada pendekatan dan strategi pembelajaran. Selain itu, bilik darjah pembelajaran abad ke 2 ialah mentransformasikan bilik darjah dengan ruang pembelajaran yang kreatif, hasil usaha murid supaya menarik dan bermakna.
            Terdapat tiga faktor strategi pengurusan bilik pembelajaran iaitu faktor fizikal, interaksi dan iklim bilik darjah. Faktor fizikal bilik pembelajaran adalah persekitaran di dalam bilik pembelajaran. Bilik pembelajaran yang kemas dan tersusun akan menyebabkan murid akan lebih bersemangat untuk belajar. Malahan, murid juga mempunyai rutin harian dalam memastikan bilik pembelajaran berada dalam keadaan baik. Rutin ini akan menyebabkan murid akan lebih bertanggungjawab dengan tugas masing-masing. Oleh itu, bilik pembelajaran tidak akan bersepah dan semua perabot dan peralatan akan tersusun rapi lalu memudahkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
            Faktor strategi pengurusan bilik pembelajaran seterusnya ialah interaksi. Menurut Kamus Dewan Keempat, interaksi bermaksud tindakan atau perhubungan aktif antara satu sama lain atau tindak balas antara dua atau beberapa pihak. Interaksi di bilik pembelajaran terbahagi kepada dua iaitu interaksi sehala dan interaksi dua hala. Interaksi sehala hanya memfokuskan guru yang mengawal pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini menyebabkan murid hendaklah menumpukan perhatian di dalam kelas ketika guru sedang mengajar. Interaksi dua hala pula melibatkan guru dengan murid dan murid dengan murid. Ini kerana, bagi menggalakkan interaksi di dalam bilik pembelajaran. Selain itu, ia mampu melahirkan pendekatan antara guru dan murid. Guru akan lebih dekat mendampingi muridnya dan boleh mengetahui kelemahan murid dalam pelajaran sekaligus mampu mencari cara untuk mengatasinya.
            Faktor yang berikutnya ialah iklim pembelajaran. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefiniskan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana kawasan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar. Iklim bilik pembelajaran terbahagi kepada tiga iaitu iklim suasana fizikal, iklim suasana sosial dan iklim suasana emosi. Iklim suasana fizikal berkaitan cara penyusunan bilik darjah iaitu penyusunan kerusi, meja, peralatan dan sebagainya. Setiap kerusi dan meja hendaklah disusun dengan jumlah yang mencukupi bagi memastikan keadaan di dalam bilik darjah adalah teratur. Hal ini kerana, bagi mengelakkan sebarang halangan yang mampu mengganggu keadaan murid di dalam kelas sekaligus boleh melahirkan situasi yang menyeronokkan di dalam bilik darjah. Malahan, bilik darjah juga akan kelihatan kemas dan teratur. Di samping itu, kedudukan meja guru adalah di hadapan kerana memudahkan pemantauan guru di dalam bilik darjah. Menurut Howard (1974), iklim sekolah merupakan sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang yang di dalamnya. Iklim sosial ini telah diterapkan dari rumah lagi yang mampu memudahkan guru dan murid untuk berinteraksi di antara satu sama lain. Dengan adanya iklim sosial ini murid dapat berkomunikasi dengan orang sekeliling jika memerlukan sesuatu terutama di dalam bilim pembelajaran. Seterusnya iklim suasana emosi pula melibatkan emosi seseorang. Ia mampu digambarkan dengan perbuatan mahupun lisan. Iklim suasana emosi yang positif amat penting kerana ia boleh mekahirkan suasana yang ceria tanpa sebarang masalah. Oleh itu, aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih berhasil.
            Kesimpulannya, strategi pengurusan bilik pembelajaran ini amat penting bagi melahirkan situasi yang aman dan lancar. Setiap guru perlulah memainkan peranan yang penting dalam memastikan setiap apa yang berlaku di dalam bilik pembelajaran. Oleh sebab itu, aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan lancar.

No comments:

Post a Comment

BIBLIOGRAFI

Ain Shahira Rosman (2018). Strategi Mengurus Bilik Pembelajaran.              Diperoleh Mei 7, 2020  daripada http://missminarmy.blogs...